Kapal Selam : Bab 2

Aku meraba-raba ke dalam saku seluar jeans yang sering aku pakai. Hampir dua minggu juga aku sarungkan seluar jeans yang sama selepas aku dapat tahu satu info seeloknya kain jeans perlu dibasuh dua minggu sekali untuk mengekalkan jangka hayatnya ketika menonton rancangan "Wanita Hari Ini" tempoh hari. Tangan masih meraba ke dalam saku mencari segugus kunci, namun apa yang dicapai hanya balutan gula-gula Hershey's.

"Abang Roy! Abang tercicir kunci masa pakai seluar tadi la..." tegur Azril, adik aku sambil menghulur segugus kunci dengan tangan kanannya. Tangan kirinya pula membimbit beg sekolah.

"Macam mana boleh tau kunci ni tercicir masa abang pakai seluar tadi? Sekodeng ye?!" soal aku dengan niat mengusik.

"Dah abang pakai kat ruang tamu. Semua orang boleh nampak!" jawab Azril.

"Yer lah. Mana anak gadis bongsu kesayangan abah ni? Tak siap lagi ker?" 

"Ina tu pakai tudung jer dah setengah jam!" keluh Azril dengan keras.

"Orang dah siap lama dah!" sahut Ina dengan tiba-tiba dari dalam kereta.

Aku dan Azril agak terperanjat. Kami kehairanan sejak bila Ina dah berada di dalam kereta sedangkan aku tak punya kunci untuk membuka pintu kereta tadi.

"Eh, masa bila Ina masuk dalam kereta ni?" soal aku kepada Ina.

"Pintu kereta ni tak berkunci lah. Mesti abang Roy lupa nak kunci dari semalam kan?! Mujur kereta ni buruk, tak ada sapa yang nak curi!" jelas Ina.

"Memang buruk!" sampuk Azril.

"Eleh, kerete buruk ni jugaklah yang hantar korang yang banyak lemak malas kayuh basikal ni pergi sekolah hari-hari." perli aku sekaligus menepis tohmahan kedua-dua adik aku tadi.

Enjin kereta Nissan Sunny kepunyaan abah aku dihidupkan lantas mengaum garang menyerlahkan sifat buruk dari segi hayatnya. Masih mampu bergerak menyusuri jalan kampung yang tak lekang dari kek-kek organik hasil buntut lembu-lembu milik tuan yang tak bertanggungjawab melepaskan haiwan ternakan merayau merata-rata. Keadaan ini memaksa aku giat memutar setereng mengikut arah dan melawan arah jam berkali-kali. Geram juga aku dibuatnya.

"Cis! Aku elak-elak pun terkena lenyek jugak taik lembu ni!" aku melepas geram.

"Padan muka!" ajuk Azril dan Ina serentak diiringi dengan tawa.

"Tengok! Budak-budak lain pun pandai kayuh basikal pergi sekolah! Tak banyak lemak!" keluh aku secara keras terhadap kedua-dua adik aku dengan niat melepas geram akibat mengelak kek-kek organik di atas jalan tadi.

Azril dan Ina sekadar membisu tanpa sepatah kata. Barangkali mengerti kebosanan abangnya mengelak tahi-tahi lembu setiap hari.

Kapal Selam : Bab 1

Aku begitu ralit memandang bilah-bilah yang dijanakan oleh unit-unit elektron, berkejaran sesama sendiri pada siling yang elok-elok saja bertentangan dengan kepala aku yang sedang kosong. Kosong, tiada apa-apa yang terkandung di dalam benak aku ketika itu selain sepasang mata aku seolah tidak impulsif dan hanya memandang putaran bilah-bilah tadi tanpa sebab. Jika cuba dijentik kepala aku secara hatrik, nescaya gema bunyi kedengaran beberapa harakat tanpa lari tajwidnya dek kekosongan dalam kepala aku.

Rasa mengantuk masih gagal menyapa aku, apakan lagi menanti seru nyenyak walaupun sepasang jarum jam semi automatik aku mununjukkan hampir jam 5 pagi. Aku masih gagal untuk tidur di kala hanya barangkali beberapa minit saja ayam jantan bakal berkokok. Tinggal di kampung memang tidak dapat lari daripada kokokan ayam setiap awal pagi, namun aku gemarkannya.

Setiap hari aku perlu bangun tidur seawal jam 6 pagi untuk tunaikan solat Subuh sebelum menghantar dua orang adik aku ke sekolah, jam 8 pagi pula aku perlu ke tempat kerja. Kebiasaannya mak aku akan kejutkan aku walaupun aku sendiri mampu bangkit dari tidur dengan sendiri, sengaja mahu mengada-ada mahu dicuit oleh mak setiap kali dia kejutkan aku dari tidur. Biasanya aku akan terjaga sendiri sebelum penggera jam berdering. 

Penggera jam meja aku seolah tiada fungsi langsung jika  dibandingkan dengan aroma kuat kopi o panas buatan mak aku dari dapur yang mampu menyusup masuk ke rongga hidu aku hingga mampu bikin aku terjaga. Mak aku biasa bangun pagi sejam awal daripada aku dan sudah menjadi tabiat dia membuat kopi setiap pagi. Kadangkala, bunyi dia mengumpil penutup tin serbuk kopi saja sudah mampu buat aku terjaga.

"Roy! Bangun tido!" sahut mak aku dari dapur lantas memanusiakan aku yang sedari tadi tidur ayam.

Ah, pagi ini boleh pula aku gagal merasa cuitan manja mak aku.